Slide background

Penang Tree Information System

Botanical-Garden-Penang
Pengenalan

Di dalam mengurus dan menjaga pokok-pokok teduhan secara berkesan, arboris perlu mempunyai maklumat yang tepat dan terkini  mengenai pokok-pokok atau kelompok pokok yang hendak diurus. Maklumat-maklumat seperti jenis pokok, bilangan pokok, lokasi dan kedudukan pokok, saiz pokok, status kesihatan semasa pokok serta keperluan penyelenggaraan untuk setiap pokok adalah berguna dan perlu sentiasa dikemaskini. Oleh itu, kerja-kerja inventori dan pemeriksaan pokok di lapangan amat penting bagi memperolehi maklumat-maklumat tersebut.

Maklumat-maklumat yang diperolehi daripada aktiviti inventori berguna di dalam merancang dan membuat sesuatu keputusan berkaitan pokok-pokok landskap. Teknologi dan applikasi komputer seperti GPS dan GIS boleh membantu di dalam menghasilkan satu sistem inventori pokok yang komprehensif.

Misi

Misi PeTIS adalah untuk membangunkan satu Sistem Pengurusan Maklumat Inventori, Pangkalan Data dan Pengurusan Pokok Teduhan yang mengambilkira aspek arborikultur di dalam pengurusan, penjagaan serta pemantauan kesihatan pokok yang efektif dan berkesan untuk memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sistem ini menggunakan gabungan pangkalan data dan teknologi Geographic Information System (GIS) yang mampu memaparkan pokok serta ciri-ciri masing-masing pada pemetaan digital.

Objektif

Objektif pembangunan PeTIS adalah bertujuan untuk mewujudkan satu sistem pengurusan pokok yang sistematik, cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat-matlamat berikut;

  • Menyimpan inventori pokok dalam satu pangkalan data secara lebih sistematik dan selamat bagi Jabatan.
  • Membantu Jabatan melaksanakan Kaedah-Kaedah Perintah Pemeliharaan Pokok (PPP) di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (1976), (Akta 172).
  • Sistem ini akan menjadi rujukan kepada pihak Majlis untuk membina inventori pokok bagi melaksanakan Perintah Pemeliharaan Pokok di kawasan pentadbiran Majlis.
  • Memudahkan Majlis merancang, mengesan, menyelenggara dan mengurus pokok terutama pokok yang telah diwartakan.
  • Menjadi rujukan bagi penyediaan Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK)
  • Memudahkan Majlis dalam kawalan pemajuan, terutama kerja-kerja penguatkuasaan dan pemantauan pokok-pokok yang disenaraikan di bawah Perintah Pemeliharaan Pokok (PPP).